Perihal Akal dan Bebal Kepimpinan Mahasiswa

IMG_20140327_024539

Melalui analisisnya terhadap pelbagai peristiwa penting dalam sejarah moden, Zachary Shore menyimpulkan bahawa orang bijaksana bisa sahaja membuat keputusan yang salah apabila terperangkap dalam salah satu atau kombinasi mana-mana ‘cognition traps’. Sebagai seorang penyelidik yang berkepekaran dalam isu-isu keselamatan, strategik dan dasar serta pernah pula berkhidmat di Jabatan Negara Amerika Syarikat, beliau telah menukilkan analisisnya dalam buku di atas.

Kurang lebih sebulan yang lalu, bersaksikan lebih tiga ribu warga kerja dan mahasiswa, Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang menggulung amanat tahunannya bagi 2014 dengan lapan gerak tindakan utama. Daripada lapan gerak tindakan tersebut, dua daripadanya secara langsung berkait dengan mahasiswa – pengwujudan kepimpinan yang transformasional dan penglibatan mereka dalam proses rekabentuk hala tuju strategik Universiti ini bagi fasa 2016 – 2020.

Rujukan jelas kepada penglibatan mahasiswa dalam ucapan sepenting ini merupakan pengiktirafan terhadap peranan dan fungsi mereka di kampus. Soal sama ada peranan dan fungsi tersebut telah sebenarnya dimanfaatkan dengan berkesan atau sebaliknya akan dibahaskan dalam entri kali ini.

Sepotong mesej meluncur masuk ke peti Facebook perantauzaman sehari dua selepas itu. Daripada seorang rakan mahasiswa yang prihatin, beliau berkongsi pandangan mengenai dua hasrat strategik Naib Canselor yang diutarakan tadi. Si pengirim membisikkan kekhuatirannya kepada perantauzaman bahawa walaupun pada zahirnya dua hasrat strategik tersebut amat positif untuk membangunkan kepimpinan mahasiswa supaya lebih berwibawa, namun bagi sebahagian komuniti mahasiswa di sini, pernyataan dasar tersebut hanya dilihat sebagai satu ‘jenaka’ kerana hakikat yang berlaku di akar umbi begitu mencabar dan rumit.

Dari nada mesejnya yang jujur, perantauzaman yakin bahawa si pengirim tadi amat menghargai kepekaan ayahanda Naib Canselor, namun cabaran mentransformasi aspek dasar dan operasi kemahasiswaan itu perlu terlebih dahulu dilakukan, usul beliau, kerana hanya bertitik tolak dari situ, baharulah kepimpinan mahasiswa yang transformasional dapat dibentuk.

Maklum balas ikhlas ini membuka ruang buat perantauzaman mencerap faktor-faktor yang mengaitkan kekhuatiran dan hasrat strategik tersebut. Adakah, langkah susulan untuk merealisasikan gagasan kepimpinan transformasional ini akan menjadikan mahasiswa kita lebih berakal, atau lebih bebal. Lima penjuru menjadi sasaran cerapan perantauzaman – sikap pengurusan tertinggi, citra kepimpinan mahasiswa sedia ada, persepsi komuniti mahasiswa biasa, gelagat pentadbiran kemahasiswaan dan kerangka birokrasi semasa.

Apabila si pengirim mesej tadi menyebut tentang kemungkinan aspirasi Naib Canselor tersebut menjadi satu jenaka, hal itu sendiri sudah mengisyaratkan sesuatu yang serius – madah gagasan Naib Canselor di atas pucuk tidak dibumikan sesuburnya di akar umbi. Ada pula yang menyoal, kenapa berlaku sedemikian? Bukankah jari-jemari Naib Canselor itu boleh sahaja menjangkau ke lantai bumi untuk merasai denyut nadinya?

Mengimbangi soalan tersebut, perlulah kita mengakui realiti bahawa urusan kemahasiswaan itu adalah satu daripada banyak lagi cabang pada dahan pentadbiran universiti. Lantas, adalah tidak munasabah sekiranya masa Naib Canselor itu hanya tercukai kepada aspek kemahasiswaan atau jurus-jurus tertentu, sehingga mengurangkan pula tumpuan kepada soal-soal lain yang sama pentingnya, seperti penyelidikan, kewangan, sumber manusia dan sebagainya.

Oleh yang demikian, tanggungjawab pengurusan hal yang pelbagai itu telah diperturunkan pula kepada entiti pentadbiran yang pelbagai – apa yang disebut sebagai ‘Pusat Tanggungjawab’, termasuklah urusan hal ehwal kemahasiswaan. Dengan keterbukaan pucuk pimpinan universiti tadi, maka pusat tanggungjawab yang berkenaan dengan urusan kemahasiswaan tersebut bertanggungjawab pula untuk menterjemah aspirasi dan gagasan ini dalam bentuk yang praktikal, efisien dan efektif supaya impaknya rata dirasai oleh komuniti mahasiswa secara saksama.

Kesaksamaan penterjemahan gagasan dan aspirasi inilah yang menjadi ukuran kejujuran pusat tanggungjawab yang menguruskan soal kemahasiswaan itu – bahawa sistem penyampaian dan inisiatif yang dilaksanakannya tidak bersifat selektif atau eksklusif kepada kelompok mahasiswa tertentu sahaja.

Ini membawa kita kepada cerapan perantauzaman yang kedua iaitu citra semasa kepimpinan mahasiswa di kampus. Kejujuran – itulah nilai utama yang diperlukan untuk membentuk kepimpinan mahasiswa yang unggul. Cabaran kita adalah untuk menentukan bahawa barisan kepimpinan mahasiswa – baik di peringkat perwakilan pelajar mahu pun di peringkat kelab atau persatuan dibimbing untuk menjadi individu yang profesional dalam gerak kerjanya, telus dalam tutur bicaranya, hemah dalam diplomasinya dan berterus terang dalam pandangannya.

Itulah sebabnya perantauzaman tegas berpandangan bahawa hati dan psikologi barisan kepimpinan mahasiswa dapat dimenangi dengan berkesan sekiranya mereka didampingi dengan ikhlas, dan bukannya diarah-arah untuk berbuat itu dan ini, keadaan yang dikhuatiri bersifat susu punya lembu, sapi dapat nama.

Kita begitu senang mengarah kepimpinan pelajar untuk bertungkus-lumus dan berhempas pulas  melakukan itu dan ini yang ‘berimpak tinggi’ tetapi sistem penyampaian sedia ada kurang memudah cara, dan apabila sahaja timbul konflik dan masalah, maka blame game pun bermula tanpa kesudahan, birokrasinya tetap pegun tanpa modifikasi dan transformasi.

Akhirnya, walaupun telah berpuluh generasi kepimpinan mahasiswa datang dan pergi, birokrasinya tetap tidak bertukar ganti. Ini ialah simptom zon selesa di pihak yang memiliki birokrasi tersebut – mungkin kerana culas untuk menerima pandangan ikhlas dari pemerhati luar atau kerana wujudnya golongan pengoperasi birokrasi yang sudah terlalu lama menjalankan rutin yang sama dalam suasana yang sama. Akibatnya – kebekuan minda kerana tidak terdedah kepada budaya pengurusan pusat tanggungjawab selain tempat tugasannya.

Realiti ini akan mempengaruhi persepsi komuniti mahasiswa biasa – iaitu mereka yang tidak berada dalam arus perdana gerak kerja kemahasiswaan terhadap citra kepimpinan mahasiswa yang ada dan gelagat pusat tanggungjawab yang menguruskan soal kemahasiswaan.

Persepsi lazimnya berkait dengan penilaian yang sifatnya umum dan eksternal, justeru menatijahkan hanya dua kemungkinan penilaian – positif atau negatif. Sekali lagi, usaha untuk memenangi persepsi komuniti mahasiswa biasa ini menuntut pendampingan yang ikhlas, dan bukannya melalui inisiatif-inisiatif yang bersifat tempelan atau ‘syok sendiri’ yang boleh melunturkan keyakinan kelompok mahasiswa biasa ini.

Pendampingan yang ikhlas daripada barisan kepimpinan mahasiswa dan pusat tanggungjawab yang berkenaan itu menuntut keupayaan untuk mendengar dan bermusahabah. Ya, mampu untuk mendengar suara hati mahasiswa di peringkat akar umbi dengan perasaan yang lapang dan hati yang terbuka, walaupun mungkin ditegur atau dikritik, dan mampu pula memuhasabah amalan dan pendekatan selama ini untuk dimodifikasi supaya lebih dinamik dan transformasional.

Kesediaan untuk menerima teguran dan kritikan melalui medium diplomasi itu sebenarnya jauh lebih baik daripada menafikan segala akses teguran sehingga mengakibatkan pula kekalutan lain – konfrontasi dan demonstrasi. Apa yang penting ialah lebarkan peluang dan kurangkan risiko secara bijaksana.

Justeru, birokasi yang digunapakai untuk mengurus soal kemahasiswaan di kampus seharusnya mendidik mahasiswa kita untuk bijaksana menggunakan akal, bukannya menjadikan mereka manusia bebal yang gagal menggunakan akal mereka pada tahap optimum untuk membuat keputusan dan menentukan hala tuju diri dan organisasi. Dalam kata lain, birokrasi yang memudahcara sifatnya itu berupaya mencanai wibawa, hemah dan hikmah mahasiswa, bukannya mendidik mahasiswa untuk menjadi pengampu dan orang suruhan. Oleh yang demikian, untuk merealisasikan gagasan kepimpinan transformasional yang disebutkan pada awal coretan ini, maka perantauzaman mengusulkan:

(a) pelaksanaan analisis S.W.O.T (strength-weakness-opportunity-threat) secara menyeluruh terhadap kerangka birokrasi dalam urusan gerak kerja kemahasiswaan;

(b) penetapan piawai secara sistematik dan struktural dengan kerangka kriteria yang khusus dalam menilai prestasi setiap pertubuhan mahasiswa;

(c) penarafan (rating) setiap pertubuhan mahasiswa bagi menentukan aras  prestasi mereka;

(d) penetapan dasar yang jelas mengenai sistem ganjaran kepada pertubuhan mahasiswa yang mencapai tahap prestasi yang cemerlang sebagai insentif dorongan;

(e) penglibatan kolektif pemimpin mahasiswa-penasihat pertubuhan mahasiswa-birokrat universiti dalam menggubal usul (a) hingga (d) supaya transformasi sistem yang dihasratkan itu memudahcara secara holistik, tidak hanya untuk satu pihak sahaja dan ini memerlukan sesi percambahan fikiran dan bengkel yang komprehensif dalam semangat perundingan, bukan persaingan.

Menutup entri ini, ada baiknya kita cuba menghayati analisis Zachary Shore dalam bukunya Blunder – Why Smart People Make Bad Decisions (2008) yang menggariskan tujuh perangkap mental (cognition traps) yang selalunya menggagalkan sesuatu usaha tranformasi iaitu:

(a) Exposure Anxiety – ketakutan untuk dilihat sebagai lemah;

(b) Causefusion – kekeliruan terhadap punca sesuatu fenomena yang kompleks;

(c) Flat View – kecenderungan untuk melihat dunia daripada satu dimensi sahaja;

(d) Cure-Allism – kecenderungan untuk mengambil hanya satu bentuk penyelesaian untuk menyelesaikan semua masalah;

(e) Infomania – keghairahan berlebihan terhadap perkaitan maklumat;

(f) Mirror Imaging – kepercayaan bahawa orang lain juga akan berfikir seperti kita; dan

(g) Static Cling – keengganan untuk menerima bahawa suasana telah berubah.

Itulah sebabnya gagasan kepimpinan transformasional ini perlu didakap secara kolektif oleh semua pihak yang berkepentingan secara rata dan saksama, tanpa pengecualian, supaya penterjemahannya kelak betul-betul praktikal dan mengakar umbi sebagai satu legasi yang lestari – dan tidak sekadar berakhir sebagai satu jenaka yang sinis.

 

Advertisements

Perihal Taksub dan Auta

Image

Naskhah syarahan umum “Legasi Islam di Pahang” yang disampaikan Profesor Dr. Abd Jalil Borham pada 12 Mac 2014. Inspirasi buat nukilan perantauzaman kali ini.

Bagi sebuah institusi berteraskan teknikal seperti Universiti Malaysia Pahang, jarang-jarang sekali kedapatan perkongsian ilmiah yang mewacanakan soal-soal di luar perimeter saintifik, atau lebih tepatnya soal sejarah, budaya dan tradisi. Justeru, apabila Siri Syarahan Umum Profesor petang tadi menampilkan tajuk “Legasi Islam di Pahang”, maka perantauzaman awal-awal lagi melapangkan waktu bagi maksud tersebut dengan mengosongkan jadual temujanji.

Dengan mengambil masa sedikit lebih dari satu jam, Profesor Dr. Abd Jalil Borham berbicara tentang perkembangan Islam di Nusantara. Negeri Pahang sejak 1028 Masehi, usul beliau, merupakan tapak pertama perkembangan Islam di rantau ini berdasarkan nisan purba yang ditemukan di Permatang Pasir, Pekan pada tahun 1955. Penemuan ini, tambah beliau lagi, adalah jauh mendahului bukti pada Batu Bersurat di Kuala Berang, Terengganu yang bertarikh 1303 Masehi.

Walau apa pun kesimpulannya terhadap hujahan Dr. Abd Jalil tersebut, kita maklum bahawa analisis beliau itu adalah berdasarkan kajian ilmiah yang terstruktur berdasarkan penelitian terhadap fakta dan artifak sejarah dan dokumen bertulis yang tersimpan di gedung-gedung muzium dan perpustakaan. Makanya, hujahan tersebut, sekiranya mahu disanggah sesiapa, hendaklah dihujah balas dengan bukti ilmiah yang dianalisis dengan sistematik.

Justeru, fakta daripada kajian ilmiah bukanlah sembrono dapat disangkal dengan borak atau temberang – apa yang disebut oleh Kamus Dewan sebagai “auta”. Lebih menarik lagi, Dr. Abd Jalil dalam syarahannya tadi ada memetik pandangan beberapa sarjana Islam dan Barat mengenai paradigma minda masyarakat Nusantara satu ketika dahulu yang didapati taksub kepada mitos, kesaktian, khurafat dan khayalan.

Kalau dikira-kira dari tahun 1028 tadi hingga 2014 ini, telah lebih seribu tahun Islam bertapak di Nusantara, ya, satu tempoh yang cukup panjang untuk menyanggah kesesatan segala mitos, kesaktian, khurafat dan khayalan yang cukup-cukup disukai segelintir bangsa Melayu.

Alhamdulillah, ketaksuban yang asalnya bersarang kukuh itu telah sedikit demi sedikit rapuh, berkat kegigihan para ulama dan cendekiawan Islam di rantau ini, dan juga kewujudan tokoh-tokoh pengkritik abad kesembilan belas, seperti Raja Ali Haji di Riau [pemikirannya dapat dibedah dengan meneliti koleksi puisi nukilannya – lihat Abu Hassan Sham (1993) ‘Puisi-puisi Raja Ali Haji’ terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka] dan Abdullah bin Abdul Kadir Munshi atau lebih dikenali sebagai Munshi Abdullah [kritikan tajam beliau terhadap kejahilan bangsa Melayu terhadap agama dan ilmu dapat dilihat dalam ‘Hikayat Abdullah’ (1843) dan ‘Kisah Pelayaran Abdullah ka-Kelantan’ (1838)].

Pastinya, rasa taksub terhadap perkara-perkara yang tidak berasas dan berfakta ini menjadi penyakit besar bangsa Melayu sejak zaman-berzaman, sehingga dipandang sinis oleh penjajah Barat yang memanipulasikan sepenuhnya kelemahan ini untuk mengekalkan dominasi imperialisme mereka di Nusantara. Selain Raja Ali Haji dan Munshi Abdullah, perihal kejahilan dan ketaksuban ini turut diulas penulis-penulis Barat seperti Godinho de Eredia (1613) Eduard Douwes Dekker (1860), Isabella L. Bird (1883) dan Hugh Clifford (1903).

Tidaklah terlintas untuk perantauzaman menjadikan perihal ini sebagai modal tulisan di sini, ketaksuban segelintir rakyat Malaysia terhadap khurafat dan auta terlalu nyata zahirnya melalui krisis kehilangan pesawat MH370 Penerbangan Malaysia pada 8 Mac 2014 yang lalu. Dalam sekelip mata, krisis tersebut telah dengan tidak semena-mena melahirkan begitu ramai penganalisis dan teknokrat penerbangan serta strategis risikan keselamatan yang tidak bertauliah dengan seribu satu teori bertaraf sampah.

Teringat perantauzaman kepada ulasan seorang panelis yang dijemput membicarakan krisis MH370 di saluran televisyen al-Hijrah awal minggu ini bahawa yang membezakan analisis tipikal rakyat Malaysia dengan analisis kebanyakan media Barat ialah kredibiliti ilmiahnya. Sekiranya media Barat banyak merujuk pandangan pakar yang memang sebenarnya berkepakaran, segelintir rakyat Malaysia pula enak berteori tanpa sandaran ilmiah secara empirikal bagi mentafsir krisis ini dalam konteks yang tidak ‘menyesatkan’.

Apatah lagi, kemunculan ritual perbomohan yang khurafat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) – mercu tanda kemegahan negara dan gerbang masuk udara yang utama bagi Malaysia, kononnya bagi mencari pesawat malang tersebut, telah terang-terang mencemar kesucian Islam sebagai agama Pesekutuan. Siapa sahaja Muslim yang waras dan sayangkan agamanya pasti malu dengan kebodohan ini, sehinggakan perantauzaman sendiri terpaksa mengambil masa sedikit sewaktu kuliah untuk bercerita kepada siswa-siswi non-Muslim bahawa ritual perbomohan yang dipaparkan itu sama sekali tidak dianjurkan Islam. Lihat sahaja bagaimana kejahilan beberapa kerat manusia bersongkok yang mengaku mengucap dua kalimah syahadah ini telah memberikan gambaran yang salah tentang Islam di mata non-Muslim, dan di serata dunia, Malaysia ditertawakan.

Kebodohan ritual perbomohan itu tidaklah pula kurangnya dengan kejahilan mereka yang galak berauta dengan pelbagai teori di laman sosial atas talian, lebih sudu daripada kuah dalam memberikan komentar, dan hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong, memberikan ulasan ‘pakar’ tanpa diundang. Seperti biasa, akal pahlawan papan kekunci ini janganlah sesekali diberi muka, apatah lagi dilayan, cerdiknya tak dapat diikut, bodohnya tak dapat diajar. Membacanya sedikit, boraknya sahaja yang lebih, pandangan diberi tiada asasnya, dikhuatiri pula jadi dusta dan fitnah. Justeru daripada percuma membuat dosa, lebih baik berdoa daripada berkata-kata.

Keghairahan Malaysia mengejar status negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 nyata terancam dengan realiti ini. Walaupun terdapat peningkatan dalam kadar pembacaan rakyat Malaysia (lapan buku setahun pada 2010 berbanding hanya dua buku setahun pada 1996), ini bukanlah satu jaminan bahawa tahap literasi ilmu rakyat Malaysia berada pada tahap yang cemerlang, dengan mengambil kira standard, jenis dan kualiti bahan bacaan yang dirujuk.

Cara segelintir rakyat Malaysia menilai krisis MH370 ini benar-benar membuka pekung yang memalukan negara, tatkala kita berbangga dengan tahap literasi komputer dan teknologi yang meningkat, perkembangan itu diancam pula oleh penggunaan sumber atas talian secara tanpa adab dan hemah. Inilah dilema pahit yang memerlukan perhatian yang serius.

Image

“Education is the foundation for everything”. Bingkisan daripada seorang sahabat buat perantauzaman. Ungkapannya ringkas, tetapi kaya dengan sejuta makna.

Maksud kaligrafi Cina pada sehelai kertas yang dihadiahkan kepada perantauzaman oleh seorang sahabat baik berbangsa Tiong Hua sehari dua yang lalu begitu relevan dengan entri kali ini. Education is the foundation for everything (Pendidikan adalah asas kepada setiap perkara), demikian maksud di sebalik seni kaligrafi yang sederhana ini. Ya, pendidikan dan ilmu itu saling berkait, dan hanya pencerahan ilmiah dapat menyanggah apa sahaja bentuk auta yang berleluasa, bukan sahaja sekitar krisis MH370, tetapi meliputi segala penjuru.

Kepada warga mahasiswa di kampus, ini merupakan cabaran yang besar. Seringkali perantauzaman menyoal mahasiswa di dewan kuliah, namakan naskhah-naskhah lain yang ditelaah, selain buku teks, akhbar, komik dan novel. Responnya sama sekali tidak memeranjatkan perantauzaman, hampir tiada, dan ini memang sudah dijangka. Justeru, jangan cepat perasan apabila bilangan buku yang dibaca oleh rakyat Malaysia meningkat kepada lapan buah setahun pada 2010. Hakikat ini tergambar pula pada kualiti hujahan sesesetengah mahasiswa atau pemimpin mahasiswa yang beraksi dalam rancangan bual bicara di layar televisyen atau corong radio. Daripada kandungan hujahan itu sendiri kita sudah dapat menilai tahap dalam dangkal pembacaan yang mencorakkan pula dinamik statik pemikiran mereka.

Ramai melihat bahawa mentelaah naskhah sejarah, ekonomi, sains politik dan falsafah itu sebagai berat dan membebankan, sedangkan pemahaman terhadap cabang-cabang ilmu tersebutlah akan mencegah mereka daripada perangkap taksub dan auta. Kerana dangkalnya pembacaan dan sempitnya pemikiran, ada juga yang terjerat dalam dilema taqlid – mengikut sahaja sesuatu  dengan membuta-tuli.

Ya, nampaknya misi pencerahan akal melalui ilmu pengetahuan sejak pertapakan Islam di Nusantara lebih sealaf lalu, sebagaimana yang cuba dibuktikan Dr. Abd Jalil dalam syarahannya tadi akan menjadi jihad yang berterusan. Kita sendiri dapat melihat, meski dalam kecanggihan teknologi dan komunikasi, taksub dan auta masih tebal menjadi pegangan.

Inilah yang ditegur oleh Allah Ta’ala dalam al-Qur’an, melalui ayat kesembilan Surah az-Zumar, “Katakanlah, adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui?”. Justeru, jalan untuk mengetahui (fakta) ialah melalui penerokaan ilmu (iqra’), itulah yang bakal menyelamatkan kita daripada ketaksuban dan auta.

Perihal Kejutan Pencen

Selama empat hari tiga malam lamanya, perantauzaman keluar bertugas, bermula di Simpang Renggam dan Mersing di Johor, dan kemudiannya langsung ke Nenasi, sebuah perkampungan nelayan di pertengahan laluan Kuala Rompin ke Pekan di Pahang. Menempuhi ratusan kilometer pergi pulang itu, kotak fikir menghitung-hitung kisah untuk diperihalkan di perantauzaman.

Seingat-ingat perantauzaman, ungkapan ‘kejutan pencen’ kali pertama didengari kira-kira 22 tahun lepas, suatu petang pada tahun 1992. Sekadar menemani kedua orang tua, perantauzaman bersama mereka menziarahi Haji Hassan Mohd Ali, bekas pengetua sekolah di mana arwah bonda pernah berkhidmat. Baharu sahaja bersara dari perkhidmatan awam sebagai Ketua Penolong Pengarah di Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Haji Hassan dan isteri (namanya tidak dapat perantauzaman ingati) bercerita tentang hari-hari pasca persaraan, dan terpacullah ungkapan ‘kejutan pencen’.

Bayangkan, individu yang telah biasa dengan rutin kerja selama 33 tahun, bangun seawal pukul 5.00 pagi, bersiap dan kemudian terus ke tempat kerja, kadangkala bertugas luar pula beberapa hari, tiba-tiba terhenti daripada kelaziman tersebut. Tiada lagi kemeja yang perlu digosok, tali leher yang perlu diikat, rambut yang perlu disikat rapi, dokumen yang perlu disemak dan mesyuarat yang perlu dihadiri. Tiada lagi acara rasmi yang perlu dihadiri sebagai tetamu kenamaan dan tiada lagi sapaan ‘Assalamualaikum tuan’ daripada staf tatkala melangkah masuk ke pejabat.

Bukan mudah bagi seorang individu yang telah sedemikian lama berkhidmat untuk memencilkan diri daripada kelaziman tersebut dan terpaksa pula menerima hakikat bahawa ‘masa aku telah berlalu’ dengan penuh kesedaran. Maka tidak hairanlah, terdapat kejadian-kejadian ganjil di mana mantan majikan atau ketua jabatan yang masih pergi ke pejabat lamanya untuk bertugas, dengan berpakaian lengkap, dan terpaksa pulang semula ke rumah dengan perasaan sedih. Inilah yang dinamakan ‘kejutan pencen’.

Lucu bunyinya bukan? Namun inilah senario yang sesekali berlaku, bukan untuk ditertawakan, tetapi sebaliknya menjadi iktibar untuk kita lebih bersedia menyediakan diri menghadapi hari-hari persaraan. Lazimnya, keadaan kejutan pencen ini muncul dengan dua sifat.

Pertama, mereka yang telah sekian lama berkhidmat dengan komitmen serta dedikasi tinggi dan mempunyai semangat pemilikan (sense of belonging) yang terlalu mendalam terhadap organisasinya sehingga berasa sukar sekali untuk berpisah.

Kedua, mereka yang telah berkhidmat dengan sesuatu organisasi untuk satu tempoh tertentu dan merasakan diri mereka masih mempunyai kawalan (sense of control) serta kurang yakin mengenai keupayaan organisasi tersebut tanpa penglibatan aktifnya seperti dahulu. Sense of control tanpa legitimasi inilah yang menjadikan sifat kedua ini negatif – dalam kata lain, mereka tidak yakin kepada generasi pengganti dan merasakan bahawa mereka masih berhak bersuara atau mempengaruhi keputusan organisasi.

Dua fenomena ini dikemukakan untuk menunjukkan bahawa kejutan pencen, boleh berbentuk positif atau negatif, berjangka masa pendek atau panjang. Dalam sifatnya yang positif itu, orang lain mungkin boleh memahami dan seterusnya memaafkan bahawa fenomena kejutan pencen itu hanya sementara keadaannya, keadaan akan kembali normal tatkala si pesara itu dapat beradaptasi dengan status baharunya. Ini mungkin mengambil masa antara dua minggu ke sebulan.

Namun tidak halnya dengan sifat kejutan pencen yang negatif. Dengan anggapan tidak berasas bahawa beliau masih mempunyai sense of control, si pesara ini akan mula memandang bahawa keputusan dan tindakan yang dibuat oleh generasi penggantinya sebagai serba tidak kena.

Si pesara ini mula memperlihatkan sikap kritisnya secara keterlaluan dan mencari-cari kesalahan dengan tujuan untuk memalukan penggantinya dan menunjukkan bahawa dia sebenarnya lebih baik. Si pesara ini akan bertambah berang jika kritikan dan kemahuannya tidak dilayan atau dituruti, dan pada tahap ini dia akan mula mencari jalan untuk menggoyahkan kestabilan organisasi dengan mempengaruhi anggota peringkat pertengahan dan bawahan untuk ‘memberontak’ atau merasa tidak percaya kepada kepimpinan atasan.

Jika tidak dibendung, infiltrasi idealisme songsang si pesara ini akan menjadi barah dalam organisasi. Akibatnya, tumpuan utama ke arah pencapaian hala tuju strategik organisasi telah terpecah pula kepada satu lagi cabang lain – menangani karenah dalaman angkara si pesara. Terang dan nyata sekali bahawa apa yang dianggap oleh si pesara sebagai ‘tindakan menegur dan menasihat’ itu sebenarnya membawa lebih banyak mudarat berbanding manfaat, malah ini sebenarnya lebih merupakan perbuatan khianat.

Justeru, battle from within ini lebih memenatkan kerana kepimpinan yang menggantikan itu terpaksa menghadapi bukan sahaja si pesara, tetapi juga ejen-ejen yang telah diindoktrinasi oleh si pesara untuk memainkan peranan sebagai duri dalam daging di organisasi tersebut. Sekali lagi, si pesara ini dan juak-juaknya akan cuba menjustifikasikan perbuatan tersebut dengan istilah seperti ‘suara ketiga’, ‘semak dan imbang’, ‘bukan macai’ dan lain-lain, tetapi puncanya hanya satu – tidak puas dengan zaman kekuasaannya.

Apabila perantauzaman mengupas perihal ini sebentar tadi, kupasan tersebut tidak hanya berkait dengan golongan pesara meninggalkan perkhidmatan atau kerjaya. Sebaliknya, kupasan tersebut turut berkait dan relevan dengan golongan pesara dalam kalangan bekas pemimpin mahasiswa di universiti.

Justeru apabila perantauzaman dijemput untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman bersama hampir seratus pemimpin  mahasiswa yang mewakili pelbagai pertubuhan, persatuan dan kelab baru-baru ini, tiga senario kegagalan kepimpinan telah dikemukakan untuk renungan mereka iaitu:

A. Bilangan pemimpin atasan yang terlalu ramai menyelia dan memberi arahan, dan terlalu sedikit orang bawahan yang bekerja bagi melaksanakan arahan tersebut;

B. Pemimpin atasan yang hanya tahu menjadi gembala yang memberikan arahan serta menekan orang bawahan untuk bekerja, tetapi tidak pula turun ke lapangan untuk bersama orang bawahan pada masa sukar; dan

C. Pemimpin atasan yang hanya menjadi boneka kepada pihak luar atau pesara kepimpinan yang disandangnya kini, dan hanya melaksanakan hasrat pesara yang mengawal pemimpin itu secara senyap atau sembunyi.

Ketiga-tiga senario di atas memang pada hakikatnya wujud, secara nyata atau secara kabur, dan berlaku di pelbagai organisasi, di peringkat pengurusan korporat mahu pun dalam barisan kepimpinan mahasiswa. Berbalik kepada perbincangan kita, kejutan pencen yang diperihalkan dalam entri kali ini lebih merujuk kepada situasi C di atas, dan sukalah perantauzaman untuk merujuk senario tersebut kepada kepimpinan mahasiswa di kampus.

Kesediaan untuk mengisi jawatan kepimpinan, apa jua namanya atau apa jua sifat kerjanya turut bermakna kesediaan untuk mengosongkan jawatan tersebut apabila masa tamatnya tiba. Kepimpinan itu berterusan sifatnya sebagai satu kualiti kendiri, tetapi jawatan kepimpinan itu dibatasi oleh tempoh masa tertentu, satu tahun, tiga tahun dan seterusnya, sebagaimana yang disyaratkan dalam terma perjawatan tersebut.

Apabila seseorang penjawat kepimpinan telah menghampiri garisan penamat tempoh pelantikannya, dia mestilah akur kepada hakikat bahawa selepas ini, beliau tidak lagi mempunyai kapasiti rasmi dalam organisasi yang dipimpinnya, dan perlu berundur dengan terhormat serta dengan jiwa besar, memberikan ruang bagi generasi pengganti mencorakkan hala tuju dan arah pergerakan organisasi. Kesediaan untuk menerima hakikat ini, walau sepahit atau seberat mana sekali pun adalah ciri unggul seorang negarawan (statesmanship) yang sebenarnya mengangkat lagi martabat si pesara itu.

Walaupun tidak lagi mempunyai kapasiti rasmi kerana telah ‘luput tarikh’, si pesara tersebut masih mampu untuk menyumbang, tetapi bukan dengan memperlihatkan kecenderungan sense of control atau sembrono mengkritik terbuka sehingga menyebabkan generasi pengganti merasa tidak selesa, rimas dan akhirnya meluat.

Si pesara yang menghidap kejutan pencen dalam situasi ini sebenarnya masih dahagakan perhatian dan menuntut penghormatan, satu simptom bahawa dia sebenarnya masih mahukan kuasa dan kawalan terhadap organisasi, lantaran keengganan emosi dan mental untuk menerima hakikat ‘luput tarikh’ tadi.

Respect needs to be earned, not demanded. Sekiranya si pesara tadi menunjukkan keunggulan sifat negarawan yang berjiwa besar dan melapangkan ruang kepada generasi pengganti untuk menjalankan peranan kepimpinan mereka dengan corak tersendiri, tetapi dalam perimeter semangat organisasi itu, maka pastinya penghormatan kepada si pesara itu akan datang dengan sendirinya.

Tetapi, sekiranya si pesara itu memilih untuk menuntut penghormatan, maka dia tidak akan segan silu memperlekehkan, merendah-rendahkan keupayaan dan sentiasa mencari kesalahan serta kelemahan generasi pengganti, dan ini biasanya dilakukan secara terbuka, kerana pada si pesara itu, dia masih mempunyai kawalan terhadap organisasi tersebut. Ini sebenarnya, satu penghinaan kepada generasi pengganti, dan percayalah, penghormatan dan perhatian yang dituntut oleh si pesara itu, sama sekali tidak akan diperolehi. Justeru, jika si pesara tadi merasa terpinggir atau dipencilkan, keadaan itu sebenarnya berpunca daripada sikap dan perangai dirinya sendiri – kuman di seberang laut boleh nampak, gajah di depan mata tak boleh nampak. 

Perantauzaman hanya mampu simpati kepada si pesara yang menghidap kejutan pencen ini. Oleh kerana lazimnya pesara kejutan pencen ini merasa lebih tahu dan berpengalaman, egonya juga lebih jika mahu dinasihat berlebih-lebih. Baik sekali jika si pesara ini sedar, tetapi malang sekali jika dia terus tenggelam dalam persepsi dan pemikiran negatifnya.

Justeru ingatlah, apabila kita tidak lagi berada dalam sesuatu jawatan kepimpinan, pandangan, nasihat atau saranan yang diberikan sebagai pesara tidak boleh lagi dianggap sebagai arahan yang mengikat (binding), sebaliknya hanya bersifat persuasive iaitu tidak mengikat. Nasihat, pandangan atau saranan tadi tidak boleh pula dipaksakan kepada generasi pengganti, kerana asas pertimbangan perlu bersifat dinamik dan disesuaikan dengan situasi baharu.

Apa jua pertimbangan, keputusan, tindakan, dasar, pendirian dan pendekatan generasi pengganti dibuat atas tanggungjawab penuh mereka, justeru hormatilah ruang masa kepimpinan mereka sebagaimana si pesara ini dahulunya dihormati tatkala zaman kepimpinannya. Pamerkanlah sifat negarawan yang bijaksana, bukan pesara yang gila kuasa.

 

Perihal Yang Gopoh dan Yang Bodoh

Sambil menguis-nguis kulit popia goreng yang menjadi santapan tengah hari dua tiga hari yang lalu, perantauzaman bertukar bicara dengan seorang rakan sekerja mengenai beberapa perkara, yang ringan dan yang berat. Namun, akhirnya wacana kami tertumpu kepada dilema kampus yang berlingkar sekitar soal mereka yang gopoh untuk menunjuk pandai, dan mereka yang bodoh tetapi merasa pandai. Sepantas itu juga, terlintas idea untuk merakamkan perihal mereka yang gopoh dan mereka yang bodoh sebagai pencerahan kali ini.

Ceritanya mudah. Keunikan sistem governan universiti mengemukakan dinamika iklim dan persekitaran kerja, ya secara idealnya. Namun iklim dan persekitaran yang dinamik tersebut berhadapan pula dengan dua kemungkinan – pertama, kelebihan tersebut dimanfaatkan seoptimumnya bagi meningkatkan tahap kemudahcaraan (facilitative) sistem penyampaian perkhidmatan kepada staf lain, mahasiswa dan pihak luar.

Kedua, kelebihan tersebut dilihat pula sebagai justifikasi dangkal untuk bereksperimen dengan pelbagai kaedah yang tak sudah-sudah. Dengan menjaja nama ‘inovasi’ atau ‘pendekatan di luar kotak’, kerap kali pelbagai eksperimen pentadbiran ini dibuat sekadar untuk menidakkan asas yang telah wujud sebelum ini, atau dalam kata lain, ‘memandai-mandai’ tanpa panduan formulasi dasar yang khusus.

Inilah hakikat yang boleh menjadi manfaat atau melarat sebagai mudarat kepada kemandirian sesebuah universiti. Perlu difahami bahawa di universiti, terdapat dua bentuk jawatan pengurusan – pertama, yang bersifat tetap dan disandang oleh pegawai dari skim hakiki seperti Pegawai Tadbir, Pegawai Kewangan, Pegawai Teknologi Maklumat dan seumpamanya.

Kedua, jawatan yang bersifat giliran iaitu  pelantikan ke jawatan pentadbiran tertentu, untuk tanggungjawab tertentu, dalam tempoh masa tertentu dan dengan keistimewaan elaun tertentu. Ini lazimnya disandang oleh pegawai-pegawai akademik (dari kalangan pensyarah) untuk mengetuai sesuatu Bahagian, Jabatan atau Pusat Tanggungjawab dengan gelaran seperti Pengarah atau seumpamanya.

Itulah dinamika sistem yang unik bagi sesebuah universiti. Dinamika ini pula tidak sebarangan sifatnya. Legitimasi kepada pelantikan ke jawatan-jawatan giliran tadi adalah bersumberkan kuasa undang-undang tertentu yang diperuntukkan kepada Naib Canselor sebagai Ketua Eksekutif sesebuah universiti.

Maka beruntunglah sesebuah universiti sekiranya jawatan-jawatan giliran ini diisi oleh mereka yang benar-benar suci niat khidmatnya, untuk memberi dan menambah nilai kepada warga kerja dan mahasiswa serta pihak luar yang berkepentingan. Namun adakalanya jawatan-jawatan giliran ini menjadi rebutan, malah hingga bersakit-sakitan pula kerana yang begitu bernafsu itu tidak lagi melihat soal KHIDMAT, tetapi hanya melihat KUASA dan PENGARUH yang dapat dibina daripada jawatan giliran yang diidam-idamkan itu, walau tempoh masanya sementara cuma.

Daripada pengamatan perantauzaman, kalangan yang bernafsu besar terhadap jawatan-jawatan giliran ini selalunya didukung pula oleh kongsi-kongsi gelap dalaman kampus, baik dari kalangan pentadbir atau akademia, itu situasiyang pertama. Dalam situasi kedua, ada juga yang muncul solo asalnya (tetapi bernafsu besar), namun kemudiannya terjerat dalam permainan kongsi-kongsi gelap tersebut, dek kerana cuba ‘play safe’ untuk ‘please everybody’, ya kerana terdesak mencari ‘jentera’, ‘perkakas’ dan sokongan.

‘Mangsa tanpa sedar’ ini akhirnya menjadi sebahagian daripada bidak catur kongsi-kongsi gelap ini dalam apa yang kononnya disebut sebagai ‘grand design’ politik mereka di kampus. Lebih menyedihkan adalah situasi ketiga. Kalangan yang terheret dalam situasi ketiga ini terdiri dari kalangan mereka yang asalnya datang dengan niat khidmat suci, tetapi akhirnya tersungkur juga, sama ada kerana tidak berketahanan untuk terus berprinsip neutral dan apolitikal ATAU kerana menjadi mangsa pembunuhan karakter akibat angkara fitnah, surat layang dan seumpamanya.

Demikianlah realiti universiti. Dalam kekakuannya, wujud fleksibiliti; namun di celah fleksibiliti itu, ada pula angkaranya sekiranya tiada waspada. Jika kepentingan universiti didahulukan, ditambah pula dengan niat khidmat yang suci, maka agenda-agenda yang dirangka oleh mereka yang terpilih menyandang jawatan-jawatan giliran ini secara alaminya (natural) akan terpandu kepada gagasan yang jelas dan inisiatif yang tuntas; yang akhirnya terpancar pada kerangka pelaksanaan yang ikhlas. Inilah yang diperlukan oleh sesebuah universiti.

Rambut sama hitam, hati lain-lain. Ya, walaupun bergelar akademia, tidak semuanya pula cendekia, kerana kebijaksanaan sebenar itu tidak terletak pada gelaran Profesor, Profesor Madya atau seumpamanya. Kebijaksanaan sebenar itu terzahir daripada niat yang suci, prinsip yang teguh, sama ada secara tersurat atau tersirat. Perihal GOPOH yang dimaksudkan perantauzaman dalam nukilan kali ini merujuk kepada jawatan-jawatan giliran yang disandang oleh mereka yang pandai bermuka-muka dan menonjol diri, telunjuk lurus kelingking berkait, di depan kononnya senada sealiran dengan kepimpinan tertinggi universiti, tetapi di belakang bekerja keras untuk kepentingan pengaruhnya bersama kongsi gelap dukungan atas persefahaman ‘dilindungi’ dan ‘melindungi (you cover me, I cover you). 

Lantas, apabila jawatan yang diidam-idamkan itu berjaya direbut, maka tergopoh-gapahlah golongan yang bernafsu besar ini untuk kononnya memperkenalkan ‘pembaharuan’, sedap didengar, cantik ditulis tetapi sebenarnya sekadar mengangkat agenda kongsi gelap dalam kampus yang mendukungnya, Inilah yang perantauzaman nyatakan sebagai eksperimen yang tak sudah-sudah di awal nukilan tadi.

Dengan kegopohan tersebut, maka sistem dan kerangka sedia ada semuanya dilihat tidak kena di depan matanya (dan paling utama, di depan mata kongsi gelapnya). Kegopohan ini timbul tidak lain kerana rasa TERDESAK yang bersangatan. Sebelumnya, kalangan yang bernafsu besar terhadap jawatan giliran tertentu ini hebat berdebat sebagai politikus kampus di media sosial dan meja makan (kalangan kongsi gelap kampus ini memang sinonim dengan sembang kedai kopi mereka – sarapan pagi, makan tengah hari, minum petang, malah kadangkala makan malam – secara berjemaah atau ‘wacana’ eksklusif inner circle mereka).

Nah, apabila diberikan tanggungjawab ke jawatan giliran bagi tempoh tertentu (antara satu hingga tiga tahun), kalangan ini sedar bahawa masa yang ada begitu singkat. Maka, banyaklah masa yang tercukai kepada kajian semula, penandaan aras (benchmarking), bengkel dan seumpamanya. Sedar tidak sedar, tiga tahun berlalu begitu sahaja. Lantikan baharu dibuat dan kitaran yang sama terus berulang.

Akibatnya – sistem penyampaian terus kaku beku. Apa yang hebat diperdebat di media sosial dan meja makan sebelum ini tidak ke mana juga akhirnya, kerana pelbagai teori yang bercakerawala belum tentu praktikal untuk dilaksanakan tanpa mendalami ilmu formulasi dasar.

Jika sebelum ini, kalangan tersebutlah yang paling hebat mengkritik, serba-serbinya semua tak kena dalam sistem, tetapi apabila mereka sendiri berada dalam sistem yang dikritik hebat itu, kononnya ingin menjadi ‘pembaharu’, tiada apa jua yang hebatnya selepas itu.

Pembaharuan tidak semestinya bermaksud membuang terus yang lama dan bereksperimen dengan yang baharu, tetapi dalam konteks dinamika perkhidmatan, hal ini sepatutnya merujuk kepada penambahbaikan (reconstruction) sistem. Kerana gopoh, yang menjadi mangsa adalah end user sistem tersebut – staf lain, mahasiswa dan pihak luar yang berkenaan.

Kalangan yang gopoh ini sebenarnya memperbodohkan diri mereka sendiri. Mereka merasa hebat sebagai ‘pembaharu’, tetapi mereka tidak pernah mahu belajar dari hitam putih sejarah dan pengalaman silam mengenai pendekatan-pendekatan pembaharuan, sama ada transformasi, reformasi, rekonstruksi dan lain-lain. Keegoan kalangan ini yang hanya melihat kemahuan kongsi gelap yang melindungi dan dilindunginya, lebih daripada kepentingan umum universiti itulah yang menampakkan kebodohan mereka – cerdik tak dapat diikut, bodoh tak dapat diajar.

Popia goreng yang dikuis-kuis tadi juga telah selamat mengisi perut kami. Satu jam masa rehat tengah hari tidak cukup untuk kami mengupas panjang lagi perihal ini. Lantas, bicara perantauzaman dan rakan sekerja tadi ternoktah di sini.

Perihal ‘Sankofa’, Masa Lampau dan Wawasan

my first coup d'etat

Melalui memoirnya ini, John Dramani Mahama menceritakan pengalamannya sebagai seorang kanak-kanak dan remaja sewaktu peristiwa rampasan kuasa pertama di Ghana pada tahun 1966. Asas kukuh yang terbina sehingga menjadikan Ghana antara tanah jajahan Inggeris yang terkaya ketika merdeka pada tahun 1957 musnah kerana obsesi dan fantasi pemimpinnya. Sehingga kini, pengeluar koko utama dunia ini masih merangkak untuk bangkit kembali.

Berhujung minggu dengan tugasan luar di Negeri Kelantan Darul Naim, akhirnya pulang setelah tiga hari bermukim di Kampung Jambu Lawar dalam Jajahan Machang untuk satu inisiatif libatsama universiti-komuniti, satu daripada rangkaian aktiviti seumpamanya yang biasanya mengisi padat jadual bulanan sang penulis sejak beberapa tahun yang lepas.

Kesempatan yang terluang tatkala istirehat singkat pada malam hari sepanjang permukiman tersebut melapangkan sedikit waktu buat sang penulis menelaah pantas hasil tuaian daripada pesta buku ‘Big Bad Wolf’ di Seri Kembangan baru-baru ini. Daripada 30 judul yang diborong daripada pesta buku tersebut, naskhah bertajuk “My First Coup D’Etat – Memories From The Lost Decades of Africa” yangditerbitkan pada tahun 2012 oleh Bloomsbury Publishing, London menjadi teman tidur sang penulis sepanjang di Kampung Jambu Lawar.

Istimewa sungguh nashkah tersebut sehingga menjadi pilihan sang penulis untuk mengisi entri perantauzaman kali ini. Istimewanya nashkah ini kerana penulisnya – John Dramani Mahama merupakan Presiden Republik Ghana, negara di benua Afrika yang kita kenal dalam subjek Geografi sebagai antara pengeluar utama koko dunia.

Istimewanya juga naskhah ini kerana kejujuran penceritaannya – pengalaman masa kanak-kanak dan remaja Presiden Mahama yang dilatari peristiwa rampasan kuasa (coup d’etat) 1966 yang menumbangkan Presiden Republik Ghana yang pertama – Dr. Kwame Nkrumah, tokoh yang pernah dikagumi alam Afrika-Asia dengan ideologi ‘sosialis-saintifik’ (scientific socialism) dan pernah juga mengejutkan seantero dunia dengan gagasan Afrika Syarikat (United States of Africa) dalam ucapannya di ibu negara Ethiopia, Addis Ababa pada 24 Mac 1963.

Ya, naskhah ini turut istimewa kerana dapatan sang penulis perantauzaman pada halaman 109 dan 110 – perihal ungkapan ‘Sankofa’. Berakar umbi daripada bahasa Akan iaitu antara kumpulan etnik utama di Ghana, ‘sankofa’ secara literalnya bermaksud “tidak ada pantang atau salahnya sekiranya kamu berpatah pulang untuk mengambil sesuatu di belakang akibat tertinggal atau terlupa”. Takrifan yang agak panjang bagi satu ungkapan tunggal. Maka ternyata ada falsafah unik di sebalik ungkapan ringkas ini.

Dalam konteks yang lebih luas, iaitu melewati tafsiran literalnya, ‘sankofa’ merujuk kepada perihal “melihat masa lalu dan mengambil yang terbaik daripada masa lalu tersebut untuk maju ke hadapan dengan jayanya”. Dalam kata lain, ‘sankofa’ berkait rapat dengan soal bermuhasabah, mengambil ibrah dan belajar daripada  sejarah.

Dalam konteks Ghana pula, ‘sankofa’ adalah bersifat self-explanatory kepada hitam putih masa silamnya – perihal kebangkitannya sebagai koloni pertama di benua Afrika yang mencapai kemerdekaan pada 6 Mac 1957, kemerosotan potensi dan daya saingnya akibat kestidakstabilan politik sejak rampasan kuasa pertama pada 24 Februari 1966 dan kegigihannya untuk merangkak naik semula atas jalan demokrasi, dan John Dramani Mahama adalah Presiden kelima dari kalangan awam, bukan tentera sejak pelantikannya pada 24 Julai 2012.

Dengan falsafah ‘sankofa’ tersebut, maka perantauzaman percaya bahawa Presiden Mahama cukup arif dengan masa lampau tanah airnya, apatah lagi, bapa beliau yang merupakan seorang menteri kabinet dalam kerajaan Dr. Kwame Nkrumah turut menjadi mangsa rampasan kuasa tahun 1966 tersebut. Presiden Mahama juga cukup memahami bahawa rampasan kuasa 1966 itu adalah kemuncak ketidakpuasan hati golongan tentera dan rakyat biasa terhadap dasar serta corak kepimpinan Presiden Nkrumah yang terlalu idealistik dan obsesif dengan pendekatan sosialis-saintifiknya – bombastik dan cantik di kertas, tetapi yang sebaliknya pula berlaku di peringkat pelaksanaan.

Nkrumah Times

Obsesi terhadap falsafah ‘sosialis saintifik’ yang diperkenalkannya telah memencilkan Presiden Kwame Nkrumah daripada menerima realiti bahawa pelbagai strateginya untuk pembangunan Ghana hanya merisikokan lagi keupayaan ekonomi negara tersebut. Dijulang sebagai sebagai Bapa Kemerdekaan Ghana pada 6 Mac 1957, Nkrumah akhirnya ditumbangkan dalam rampasan kuasa tentera pada 24 Mac 1966. Tiada yang lebih baik untuk Ghana, hanya transisi daripada seorang diktator kepada sekumpulan diktator yang lain. Sayang seribu kali sayang. Dek tamakkan kuasa, negara dan rakyat menanggung derita. (Foto content.time.com)

Masa lampau yang gelap bagi sebuah negara yang asalnya dilihat memiliki prospek ekonomi dan potensi kemajuan yang besar tatkala kemerdekannya ternyata menjadi ‘sankofa’ kepada kerangka kepimpinan dan pentadbiran Presiden Mahama. Dengan penduduk seramai 25.37 juta orang, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) US$40.71 bilion dan pendapatan perkapita hanya US$1,550 menurut data Bank Dunia (2012), Ghana masih tergolong sebagai negara membangun dengan status pendapatan sederhana rendah (lower middle income)  – perjalanan yang masih jauh dan berliku untuk muncul sebagai negara maju antara tahun 2020 hingga 2029 sebagaimana yang direncana dalam “Ghana Vision 2020”.

Bandingkan pula dengan Malaysia yang terletak  11,299 kilometer daripada Ghana, kita juga punya Wawasan 2020 dan penduduk berjumlah 29.24 juta orang, tetapi dengan KDNK US$305.0 bilion dan pendapatan perkapita US$9,820 serta status pendapatan sederhana tinggi (higher middle income) (Bank Dunia : 2012), secara logiknya laluan ke arah taraf negara maju yang dihasratkan nampak lebih sedikit likunya dan kurang risikonya.

Justeru, Presiden Mahama punya beban dan cabaran besar untuk menjadikan ‘Ghana Vision 2020’ satu realiti – dan sekiranya “sankofa” yang dihuraikan pada halaman 109 dan 110 dalam karyanya ditekuni dengan jujur, beliau pastinya tidak sekadar berfantasi, mengulangi kegagalan pelbagai eksperimen scientific socialism Presiden Nkrumah antara tahun 1957 hingga 1966. Jika tidak, pastinya Ghana berhadapan risiko ketidakstabilan politik lagi, dan mungkin, satu lagi rampasan kuasa.

Apa iktibarnya di sini? Ya, di mana jua lapangannya dan apa jua kegiatannya, menoleh sejenak masa silam, menyambung cerita kejayaan dan meninggalkan kisah kegagalan adalah antara bentuk muhasabah yang berguna – baik dalam bernegara atau berorganisasi. Sebab itulah, dengan memahami corak sesuatu peristiwa sejarah – yang tersurat dan tersirat, seseorang individu biasa atau pemimpin akan lebih waspada dalam percaturan strateginya.

Namun sayang sekali, ramai amat yang alergik apabila mendengar ungkapan “sejarah” – yang kerap kali disinonimkan dengan kebekuan dan kebosanan oleh generasi muda. Lantas ibrah dan iktibar yang tersirat dalam sejarah itu kekallah pegun dan bisu, dan hanya diselak semula apabila ada sesalan di kemudian hari! Maka itulah, perantauzaman sentiasa meyakini pendekatan analisis sejarah dalam menilai masalah semasa dan mencari penyelesaiannya. Ini tentu sekali menuntut kita membaca dan mencari kunci jawapannya melalui perbandingan peristiwa sejarah tersebut dengan masalah yang dihadapi hari ini.

Walaupun Ghana jauh di belakang Malaysia, namun itu bukanlah alasan untuk kita di sini terperangkap dalam zon selesa. Presiden Mahama mungkin bergelut keras untuk merancakkan ekonomi Ghana, dan kita juga punya masalah sendiri di sini. Soalnya, adakah kita di sini – kalangan pemimpin dan marhaen – sekadar enak menjadi penonton zaman dan penunggu waktu, atau beranikah kita berbuat sesuatu yang mencabar keselesaan diri demi memastikan kelangsungan mandirinya keluarga, institusi, organisasi atau negara?

George Santayana, seorang sasterawan terkemuka yang berasal dari Sepanyol pernah menulis bahawa “mereka yang tidak belajar dari kegagalan sejarah silam, akan mengulangi kembali sejarah silam itu”. Kata perihasa Melayu pula, “sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna”. Bagi perantauzaman, itulah variasi tafsiran falsafah ‘sankofa’ untuk direnung dan dibedah bersama.

Perihal Kongsi Gelap di Kampus

IMG_20140114_061050

Menara Bellem di tebing Sungai Tagus, Lisbon. Sejak kewujudannya pada kurun ke-16, menara ini menyaksikan denyut sebuah empayar – kebangkitan, keunggulan dan kejatuhannya. Dengan melihat sejarah silam, maka kita akan waspada merencana masa depan. (Foto perantauzaman)

Mencongak-congak dan menghitung-hitung, ternyata buat masa ini tiada upaya untuk perantauzaman dikemaskini setiap hari dek pelbagai faktor – kesuntukan waktu, komitmen tugasan dan keterbatasan tenaga. Dengan keupayaan semasa, barangkali perantauzaman boleh dikemaskini setiap tiga atau empat hari sekali, realiti yang agak pahit bagi sang penulisnya!

Kembali dari Lisbon, sang penulis berkira-kira mengenai mauduk pilihan untuk dinukilkan sebagai bingkisan dari ibu kota Portugal tersebut. Warna-warni sejarah, peristiwa, budaya dan masyarakatnya mengilhamkan pelbagai perkara untuk direncana sebagai bahan penulisan, namun fokus sang penulis akhirnya ternoktah pada tujuan utama kembara ke Portugal tempoh hari – menyertai Forum Universiti Dunia Ketujuh (The Seventh World Universities Forum) 2014 di Universidade de Lisboa.

Sementara menanti giliran untuk membentangkan kertas kajian bertajuk The New Direction in Democratizing The Education System: The Malaysian Way” dalam persidangan selama dua hari tersebut, pengisian daripada Profesor Dr. Antonio Novoa dalam sidang plenari pertama memaku fokus daripada lensa minda sang penulis. Kuasa politik dan survival universiti – isu sensitif yang dikupas dengan bijaksana sekali oleh mantan Presiden University of Lisbon ini.

Memasuki tahun kesembilan sebagai penjawat awam dalam perkhidmatan universiti – sebagai birokrat dan akademia, sang penulis dapat merasakan kebenaran perkara-perkara yang dikupas Profesor Antonio, walaupun ada beberapa sudut pandang beliau mungkin tidak secocok dengan iklim pengajian tinggi Malaysia. Istilah politik yang diangkat dalam kupasan ini bukanlah politik kepartian yang digemari ramai, namun merujuk kepada politik dalaman institusi – perihal persaingan antara birokrat dan akademia, pergeseran sesama birokrat, khilaf antara akademia serta pertelingkahan pelbagai fraksi mahasiswa.

Walaupun tidak secara terperinci kerana ruang masa yang terhad, ucaptama Profesor Antonio yang berlingkar sekitar topik Politics and Universities – Presence, Participation, Cities and Critical Thinking berjaya menyentuh aspek-aspek politik institusi tadi dengan berkesan. Justeru, warna-warni politik institusi itu merupakan satu fenomena yang universal sifatnya – di universiti lama atau baharu, di universiti yang tinggi tersohor atau yang rendah tohor.

IMG_20140129_024617

Profesor Antonio Novoa (duduk di sebelah kanan sang penulis) kini Pakar Runding UNESCO dalam sesi diskusi pasca-plenari Forum Universiti Dunia Ketujuh. Beliau merupakan Presiden Universiti of Lisbon selama tujuh tahun (2006-2013). Beliau kini menetap di Brazil. (Foto perantauzaman).

 

 

Mengamati soal persaingan, pergeseran, khilaf dan pertelingkahan dalam politik institusi ini, apa yang sering disebut sebagai office politics, segalanya berbalik kepada pokok yang satu – perebutan kuasa. Hampir sepuluh tahun sang penulis bertugas di universiti, dan berpeluang pula berkhidmat dengan tiga Naib Canselor, dan berada pula dalam inner circle birokrasi teratas kampus, ternyata politik institusi di universiti boleh menjadi sesuatu yang menggerunkan kerana mereka yang tidak pernah puas hati akan sentiasa ada. Ini hakikat dan itulah yang berlaku. Sama ada dengan alasan yang kecil atau besar, daripada kegagalan mendapat suara majoriti dalam perwakilan mahasiswa hinggalah kegagalan merebut kuasa pentadbiran universiti, segalanya menjadi asbab kepada iklim tidak tenteram di kampus akibat khabar angin, andaian, fitnah dan buruk sangka.

 

Fenomena ini pula menyeluruh liputannya – daripada akademia berstatus Profesor hinggalah mahasiswa biasa. Kerana ketaksuban terhadap kuasa, gelaran dan prestij, maka kebenaran dilihat sebagai kepalsuan, dan kebijaksanaan dilihat sebagai kebodohan. Dalam kalangan birokrat dan akademia kampus, ada pula yang senang bernaung dalam perkumpulan-perkumpulan bawah tanah – for members only, sedangkan platform rasmi mereka seperti Persatuan Pentadbir dan Persatuan Staf Akademik yang sepatutnya menjadi medan kesatuan minda dan tindakan mereka hilang arah tanpa agenda nyata untuk menambah baik skim perkhidmatan dan kualiti kerja mereka.

Kecenderungan segelintir birokrat dan akademia kampus untuk merelakan diri mereka terbabit dengan kongsi-kongsi gelap institusi inilah yang akan menggagalkan keluhuran falsafah kewujudan universiti. Ya, perbezaan pandangan itu memang baik selagi mana ianya menambah nilai kepada pencerahan ilmu pengetahuan, namun jika yang sebaliknya berlaku, jalan keluar dari kegelapan kelak begitu sukar – kerana tiada lagi rasa segan massa terhadap prestij sebuah universiti.

Bagi kalangan birokrat dan akademia kampus yang sememangnya telah terlibat dengan kongsi-kongsi gelap institusi ini, alasan yang akan kerap dilontarkan ialah perlunya ‘suara alternatif’ atau ‘suara ketiga’. Namun, bergerak kerja secara rahsia untuk kepentingan puak dan diri sendiri, itulah yang lebih memudaratkan, dan inilah lumrah setiap kongsi gelap birokrat dan akademia yang ada di kampus. Hakikat pahit yang perlu juga ditelan. Maka tidak hairanlah jika ada mahasiswa yang sukar dibentuk pemikiran mereka untuk berfikir merentasi sempadan politik kepartian dan kepentingan peribadi, kerana mungkin mereka sekadar mengikut contoh buruk kalangan birokrat dan akademia yang galak berkongsi gelap di kampus.

Kepada Profesor Antonio Novoa, sang penulis amat terhutang budi atas kupasan yang telah dikongsikan beliau – secara rasmi di pentas plenari dan secara peribadi di meja diskusi sesi sumbangsaran pasca-plenari Forum Universiti Dunia Ketujuh.

Perihal Kembali Memblog

Hampir empat tahun lamanya perantauzaman ternoktah tanpa titik. Laman asalnya di blogspot kini terbiar dan terlantar sendiri, dan ini memang disengajakan. Sejak perantauzaman mula memblog sekitar tahun 2008, laman di blogspot tersebut menjadi medan nukilan berkenaan isu-isu semasa dan diri, dinaungi tema ‘lingkungan perspektif seorang insan.’

Sepanjang mandirinya di laman asal tersebut, perantauzaman menjadi saksi kepada perjalanan peribadi sang penulis, warna-warni yang mencorakkan langit kehidupannya, dan tajam tumpul liku yang ditempuhi, terutamanya sepanjang penghujung 2009 hingga suku pertama 2010. Nah, kenapa begitu lama perantauzaman ternoktah, dan kini bertapak di laman baharu pula?

Jawapannya terletak pada dua perkataan – PERTIMBANGAN dan DISIPLIN. Bagi sang penulis, menulis merupakan satu seni yang tinggi nilainya. Memang semua orang bisa sahaja menulis – buku, perharian, makalah malah blog sekali pun, namun tidak semua orang mampu menulis dengan pertanggungjawaban. Pertanggungjawaban yang bertitik tolak dari kesedaran bahawa setiap ungkapan yang dicoretkan itu seharusnya menjurus kepada pencerahan, bukan penyempitan; kejelasan, bukan kekeliruan; inspirasi, bukan kontroversi; kualiti, bukan liabiliti serta pahala, bukan dosa. Jadi, keputusan untuk kembali memblog ini merupakan hasil PERTIMBANGAN yang telah diperhalusi sedalam-dalamnya sejak tahun 2012.

Sebagaimana yang dinyatakan tadi, memang sesiapa sahaja mampu menulis. Selain merupakan satu seni bahasa yang tinggi, menulis menuntut kita menekuni kerangka DISIPLIN yang tersendiri – masa, isi kandungan, laras, gaya dan tatabahasa dan istiqomah. Sehingga kini, sang penulis masih sangsi apakah perantauzaman mampu dikemaskini setiap hari, atau selang sehari, atau selang seminggu? Ini memerlukan pertimbangan yang lain pula, supaya disiplin memblog itu dipandu oleh kerangka waktu yang praktikal dan rasional. Mengenai isi kandungan pula, disiplinnya memang jelas tanpa persoalan lagi bahawa perantauzaman akan kekal berbicara mengenai pengamatan dari lingkungan perspektif seorang insan yang mencakupi pelbagai ceruk dan penjuru.

Antara aspek disiplin yang paling asas, namun seringkali dilanggar oleh golongan pemblog ialah soal laras, gaya dan tatabahasa. Ya, memang menulis itu mudah, semudah lidah mengungkap kata, namun bukan mudah untuk menulis dengan hemah dan penuk hikmah, lantas nukilan itu menjadi pencerah minda dan jiwa. Maka, perantauzaman akan mengekalkan disiplin gaya bahasa penulisan yang tersendiri – “tiada kata secantik bahasa”, seperti yang dilagukan Seniman Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Segala yang dinukilkan tadi kembali kepada pohon istiqomah. Bagaimanakah perantauzaman mampu lestari sebagai medan pencerahan minda dan jiwa secara konsisten. Laman ini sendiri ditadbir oleh sang penulisnya dengan seribu satu kebebasan, maka itulah menjadi cabarannya! Sedaya mungkin, perantauzaman akan terus berkesinambungan sebagai makanan minda yang relevan untuk pembacanya yang setia, walau seorang cuma.

Ternyata perancangan dan ketentuan Allah Ta’ala itu jauh mengatasi kerdil daif ilmu manusiawi. Tarikh 1 Januari 2014 yang disasar sebagai pemula kembalinya perantauzaman memblog berlalu kosong. Bukan kerana tidak mahu, tetapi kerana tidak mampu akibat ujian masalah kesihatan. Walaupun lima hari tertangguh dari tarikh asalnya, maka saat ini perantauzaman kembali.

Perantauzaman cuma sekelumit amal jariah dan perkongsian manfaat ilmu yang cuba diusahakan sang penulis – mengharapkan redha dan pandangan Allah Ta’ala, dan bukan redha dan pandangan insan. Atas kesedaran tersebut, maka perantauzaman kembali memblog. Kepada Allah Ta’ala sang penulis berserah.